Biografi Murugan Chillayah

Kehidupan awal

Murugan Chillayah dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia, kepada Saradamah (ibu) dan Chillayah (ayah). Beliau adalah anak lelaki sulung, dan juga mempunyai seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan.[4]

Pendidikan

Murugan pernah belajar di SK Sri Subang Jaya SS14 dan SMK Subang Jaya SS14, di Subang Jaya, dan meninggalkan Malaysia untuk mengikuti pengajian Diploma dalam Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di IBMEC, sebuah kolej swasta di Somerset, Singapura, tetapi tidak menamatkan pelajaran kerana jadual kerja yang terhad di Singapura.[4] Selain itu, beliau juga telah mengambil kursus jangka pendek dalam Sains Doping di bawah penyelia pengajiannya Fabien Ohl, dekan Fakulti Sains Sosial dan Politik di Universiti of Lausanne di Switzerland. Kemudiannya, beliau telah melanjutkan pengajian ijazah Sarjana Muda Sains (BSc.) dalam Pentadbiran Perniagaan di University of People, California, Amerika Syarikat.[4]

Perguruan kearah kerohanian dan bertapa

Pada usia yang muda 9 tahun, Murugan sudah mula menunjukan minat dalam seni tradisional India dan kemudiannya menjadi murid dibawah mahaguru Ambiga dari Malaysia dalam seni mempertahankan diri tradisional India yang dikenali sebagai Kuttu Varisai (seni bela diri tanpa senjata) dan Silambam (seni tempur bersenjata) dan ditauliahkan sebagai guru silambam pada tahun 1996 semasa Arangetram (persembahan sulung di khalayak ramai untuk seni tradisional India) di Kuil Sri Subramaniar, Bandar Sunway, Malaysia.

Pada tahun 1999, beliau telah mula menjelajah beberapa negara di Asia termasuk India kerana berminat untuk mengetahui dan menceburi lebih mendalam ilmu-ilmu seni tradisi India, kerohanian, ilmu pertapaan dan masyarakat. Beliau mula mempelajari seni tempur Jepun Kyokushinkaikan di bawah Shihan Chua Yeow Kee di Singapura.

Kemudian, beliau telah pergi ke India, untuk mempelajari yoga tradisional dan meditasi di bawah bimbingan Swami Sudhir Anand. Setelah selesai mempelajari ilmu asas dari Swami, beliau mula ziarah (pilgrimage) ke tempat-tempat suci di banjaran Himalaya di India, untuk belajar lebih mendalam tradisi yoga dengan bimbingan sadhu dan yogi yang hidup di kawasan pergunungan, bersama dengan falsafah yogi, teks atau amalan Hindu, meditasi dan mendalami ilmu alam pertapaan.

Pada tahun 2014, Guruji Murugan mengambil bahagian dalam upacara peralihan hidup melalui Upanayana (pemakaian benang suci) di Kuil Omkarananda Dipeshwar Mandir, Rishikesh, yang berdekatan Sungai Ganga. Kemudiannya beliau telah di inisiasi sebagai Brahmacharya di India dengan upacara penuh yang telah dijalankan dihadapan beberapa orang-orang alim Hindu, sadhu dan yogi di pergunungan Himalaya dengan istiadat penuh mengambil nazar untuk beliau menerima kehidupan sebagai Sannyasa (tahap rahib atau pertapa) untuk mendalami iktibar hidup.

Selepas itu, beliau mengembara di beberapa bahagian Uttarakhand sehingga sampai ke hulu Sungai Gangga di kawasan Gangotri dengan menziarahi beberapa sadhu dan yogi (pertapa atau pengamal yoga) yang hidup sebagai zuhud (seseorang yang hidup di pergunungan Himalaya secara soleh tanpa dikuasai oleh keseronokan atau kemewahan di alam dunia). Dari penziarahan tersebut, Guruji Murugan berpeluang untuk mempelajari fungsi dan kesalinghubungan yoga tradisional dengan 5 jenis sifat elemen dasar pembentuk alam (juga dikenali sebagai maha pancha-bhuta), kerohanian, falsafah Tantra, dan keinsafan dari segala dosa. Dari pengalaman tersebut, beliau mula mengajar yoga tradisional yang berkait dengan pelbagai aktiviti pendidikan, falsafah pendidikan bersepadu (yang merangkumi keseluruhan ilmu-ilmu pengetahuan am yang berkait dengan ilmu dunia), pranayama, meditasi, dan asana, yang digabungkan dengan seni tradisi Silambam, Kuttu Varisai, Yoga Tradisional, dan Varma Kalai.[1]